Bengkel Hartanah Bahagian Baitulmal dan Surau selama dua hari di Hompton By The Beach Penang anjuran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah menghimpunkan pelbagai agensi utama negeri antaranya Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Daerah dan Tanah dari semua daerah serta Wakaf MAINPP bagi menyelaras prosedur kerja, memantapkan tadbir urus aset serta merangka penambahbaikan pengurusan hartanah di bawah seliaan MAINPP khususnya tanah Baitulmal dan surau di Pulau Pinang.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Haji Abd Aziz bin Tajuddin, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mewakili Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Beliau memberi penekanan bahawa tadbir urus hartanah Islam perlu dibina atas asas ketelusan, amanah dan kompetensi tinggi.
Hari pertama membuka tirai dengan sesi perbincangan berkaitan Pengurusan Hartanah Baitulmal dipengerusikan oleh Encik Shahril bin Shahrom, Ketua Unit Pentadbiran Tanah MAINPP yang menekankan kepentingan pengurusan tanah dan aset yang cekap, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
Hari kedua pula memberi fokus kepada percambahan idea berhubung Pengurusan Bangunan dan Tapak Surau yang dikemudikan oleh Tuan Haji Kamal bin Said, Ketua Unit Pengurusan dan Penyelenggaraan Premis, MAINPP dengan penekanan terhadap penyelenggaraan premis, keselamatan, kebersihan dan pematuhan garis panduan bagi memastikan surau sentiasa kondusif, selamat dan berfungsi sebagai pusat ibadah serta pembangunan ummah.
Sepanjang bengkel, peserta aktif bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan merumuskan pendekatan lebih berkesan untuk memperkukuh pengurusan hartanah bahagian Baitulmal dan surau. MAINPP kekal komited memperkasa modal insan, memperbaiki proses kerja dan mengukuhkan tadbir urus terbaik demi memastikan setiap amanah diurus dengan integriti, akauntabiliti dan impak tinggi untuk kesejahteraan umat Islam Pulau Pinang.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |






