18 Peniaga Terima Tawaran Sewaan Premis Kompleks Pusat Penjaja Jalan Sembilang

Seramai 18 peniaga menerima surat tawaran sewaan premis di Kompleks Pusat Penjaja Jalan Sembilang dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Jalan Sembilang.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Abu Mansur Maturidi bin Mohd Romli, dan turut dihadiri barisan Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang serta para penerima tawaran.

Dalam ucapannya, Abu Mansur berkata, Kompleks Pusat Penjaja Jalan Sembilang merupakan aset wakaf yang diuruskan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang. Hasil sewaan premis tersebut dimanfaatkan bagi menyokong pengimarahan masjid, aktiviti kebajikan serta pembangunan masyarakat setempat.

Beliau turut mengingatkan para peniaga supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, menjelaskan bayaran sewaan dalam tempoh yang ditetapkan, tidak menyewakan premis kepada pihak ketiga serta memastikan premis beroperasi secara berterusan.

Menurutnya, kerjasama erat antara MAINPP, Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang dan para peniaga amat penting bagi memastikan kompleks berkenaan terus berfungsi sebagai pusat ekonomi ummah yang tersusun, bersih, aktif dan berdaya maju.

Usaha ini sekali gus mencerminkan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, di samping memastikan manfaat aset wakaf dapat terus dinikmati oleh komuniti setempat.

3 2
1 4